Pages

akhlak nabi s.a.w

Sama ada disedari atau tidak, kadang-kadang seseorang itu tidak merasa kenyang walaupun ia makan banyak. Sebaliknya ada pula orang yang makan sedikit tapi sudah merasa kenyang.
Dalam hal ini, ia antara lain, tentulah bergantung kepada berkat makanan yang dimakan itu. Ia berkat kerana membaca Bismillah, membasuh tangan sebelum makan, membaca doa sebelum dan sesudah makan, membaca doa sebelum dan sesudah makan, makan dengan tangan kanan dan makanannya pula halal dan bersih dari perkara syubahat. Selain itu sebelum dan sesudah makan sentiasa dalam berwudhu.
Ka'ab bin Malik menceritakan melalui hadis riwayat Imam at-Tirmizi : " Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjilat jarinya
( sesudah makan ) tiga kali".
Baginda melakukan demikian kerana kita tidak tahu di jari mana yang berkat rezeki Allah sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud : " Apabila salah seorang dari kamu selesai makan, maka jilatlah jari-jarinya ( jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari ) kerana dia tidak tahu dimana satu keberkatan ( rezeki Allah )
( Hadis riwayat Imam Muslim )
Aisyah Ummul Mu'minin Radhiallahu Anhu bercerita maksudnya : " Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam memakan sesuatu makanan bersama enam orang sahabat. Tiba-tiba datang seorang Arab, lalu ia turut serta memakannya dua suap. Maka Nabi Sallalahu 'Alaihi Wasallam bersabda : Sekiranya ia membaca Bismillah, tentu makanan itu cukup untuk kamu semua".
[ Diriwayatkan oleh Abu Bakar, Muhammad bin Abban, dari Waki', dari Hisyam al-Distiwai, dari Budail bin Maisarah al-Uqaili, dari Abdullah bin 'Ubaid bin 'Umair dari Ummu Kalsum]
Dari sudut kesihatan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam memberi panduan supaya kita tidak makan melebihi keperluan tubuh sehingga perut buncit kerana terlalu kenyang. Sabda Baginda maksudnya :
"Manusia jangan memenuhkan perutnya kerana yang demikian itu tidak baik bagi perut. Cukuplah bagi manusia itu makan beberapa suap yang sekira-kira dapat menegakkan tulang punggungnya. Apabila ia terpaksa makan lebih dari itu, hendaklah perutnya itu dibagi tiga. Sepertiga diisi makanan, sepertiga diisi air, dan sepertiga diisi lagi untuk udara ( bernafas )"
[ Hadis riwayat Ibnu Majah ]
Mengenai doa pula, dari Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda. " Apabila seorang kamu memakan makanan maka hendaklah ia membaca :

"Ya Allah ! Limpahkanlah keberkatan kepada kami dan berilah kami makanan yang baik daripadanya"
[Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban ]
Dalam hadis lain diriwayatkan, bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam apabila telah selesai dari makan dan minum Baginda membaca :

Maksudnya : " Segala puji bagi Allah yang telah memberi makanan dan minuman kepada kami dan menjadikan kami termasuk golongan orang-orang Islam".
[Hadis riwayat al-Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah dari Abu Sa'id Radhiallahu Anhum ].
Itulah antara akhlak Nabi Sallahu 'Alaihi Wasallam dalam perkara makan minum untuk menjadi panduan dan ikutan.

0 comments:

Post a Comment